16 BERJAYA LEPASI FASA PERTAMA KURSUS PENYELAM PENYELAMAT MARITIM MALAYSIA

KUANTAN, 6 September – Seramai 16 daripada 22 orang peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melepasi fasa kelayakan Kursus Penyelam Penyelamat Maritim Malaysia siri 1/2023 yang berlangsung bermula 6 Ogos lalu di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

Pegawai Latih Kursus, Leftenan Madya Maritim Muhammad Nor Arham bin Yusoff berkata, untuk fasa seterusnya iaitu fasa kolam para peserta perlu melalui latihan intensif selama 4 minggu. Hanya peserta yang benar-benar kompeten dan melepasi ujian yang ditetapkan layak untuk meneruskan kursus ke fasa praktikal menyelam di pelabuhan dan fasa praktikal laut di Pulau Tioman.

Beliau turut memaklumkan latihan yang diikuti oleh peserta merupakan modul yang dibangunkan Maritim Malaysia dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Japan Coast Guard (JCG) yang mana Penyelam Penyelamat JCG dikenali dengan jolokan ‘Umizaru’ dan Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia selepas Jepun, yang memiliki kepakaran underwater rescue confined space yang membabitkan operasi penyelaman berisiko tinggi.

Terdahulu Nor Arham memaklumkan kursus ini akan berakhir pada 6 Oktober dan peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan akan ditempatkan di negeri-negeri sebagai penyelam penyelamat.

 

WhatsApp Image 2023 09 06 at 08.20.23
 
WhatsApp Image 2023 09 06 at 08.20.24 1