LAGI BOT NELAYAN TEMPATAN BERSAMA 500 KILOGRAM IKAN DITAHAN

PULAU PINANG, 24 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama 500 kilogram ikan campur di kedudukan 41.3 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 7.38 petang semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, ketika kejadian Kapal Maritim sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan pulau itu sebelum mengesan bot berkenaan sedang menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.

Pemeriksaan ke atas bot mendapati empat (4) kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 31 hingga 45 tahun berada di atas bot berkenaan.

Dua kru yang berada di atas bot memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala dua kru lagi warga Myanmar direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot dan dua kru ditahan dan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah.

Bot dan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan 500 kilogram bernilai RM 1,500.00 ditahan serta dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut.

 

PP KRU ASING 2