BOT NELAYAN TEMPATAN BERSAMA DUA TAN IKAN DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

PULAU PINANG, 24 Ogos – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 dengan muatan dua tan hasil tangkapan ikan campur telah ditahan pihak Maritim Negeri Pulau Pinang di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Maung atas pelbagai kesalahan, semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Batu Maung telah mengesan bot nelayan itu sebelum dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal, bot berkenaan didapati menggunakan pukat jerut sebagai alat menangkap ikan.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati terdapat seramai 16 kru termasuk tekong terdiri daripada lima kru warga Thailand, seorang kru warga Myanmar dan 10 kru warga Kemboja masing-masing berumur antara 19 hingga 59 tahun.

Seramai 15 kru warga asing yang berada di atas bot berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang kru warga Myanmar direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot itu kemudian ditahan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.

Bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM6 ribu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Batu Maung untuk tindakan lanjut.

 

PP NELAYAN ASING 2