19
Fri, Apr

SAREX TIER 3 | 18 AGENSI TERLIBAT SIMULASI LATIHAN BENCANA MARITIM

LUMUT, 24 Ogos – Sebanyak 18 buah agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lumut Port dan pengusaha feri penumpang Lumut – Pangkor terlibat dalam simulasi Search and Rescue Exercise (SAREX) Tier 3 yang dijalankan di kawasan perairan negeri Perak bermula 21 hingga 23 Ogos 2023.

SAR Coordinator MRSC Langkawi, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, latihan yang dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia ini telah melibatkan seramai 153 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan sebagaimana yang terkandung dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 Bencana Maritim.

Tambahnya, latihan ini dilaksanakan seiring dengan panduan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid IV.

Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata demikian selepas merasmikan acara penutupan simulasi SAREX Tier 3 di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizuddin Shah, semalam.

Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa menambah, latihan ini bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kemahiran serta kerjasama di antara agensi-agensi terlibat dalam operasi CARILAMAT dan turut melibatkan simulasi situasi bencana sebenar bagi meningkatkan kecekapan dan daya tindakan dalam menghadapi kemungkinan kejadian seumpama ini.

Kejayaan latihan ini akan menjadi tonggak bagi meningkatan kesediaan dan ketangkasan agensi-agensi yang terlibat dalam CARILAMAT bagi menghadapi cabaran dan tugas kompleks ketika bencana maritim berlaku di kawasan perairan negara.

Simulasi SAREX Tier 3 pada kali ini menjadikan senario sebuah feri yang membawa 200 penumpang dan lima orang kru mengalami kebocoran di bahagian bilik jentera utama akibat terlanggar sebuah objek bawah air di perairan Selat Dinding.

Dalam senario tersebut, kapten feri telah mengarahkan semua penumpang untuk memakai jaket keselamatan memandangkan kadar kemasukan air ke dalam bilik jentera yang sangat pantas dan terdapat penumpang yang panik dipercayai telah terjun daripada feri serta berenang bagi menyelamatkan diri.

Melalui insiden berkenaan, agensi yang terlibat dalam simulasi terbabit akan memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya ketika bencana berlaku.

Simulasi berkenaan turut disaksikan oleh pemerhati dari luar yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan dan penguat kuasa serta pihak swasta yang berkaitan dan dapatan daripada simulasi berkenaan dibentangkan pada hari terakhir SAREX bagi tujuan penambahbaikan.

Dalam pada itu, Laksamana Pertama Maritim Romli turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan SAREX Tier 3 serta berharap latihan CARILAMAT ini dijadikan program tahunan bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kecekapan agensi terlibat.

 

WhatsApp Image 2023 08 24 at 13.13.43 1
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 13.13.40 2
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 13.13.44 1
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 13.13.47 1
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON