BICARA INTEGRITI BERI KESEDARAN TERHADAP PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM

PUTRAJAYA, 7 Mac – Unit Integriti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengadakan Program Bual Biacara Integriti yang bertajuk ‘Pengurusan Kewangan Peribadi Dalam Kalangan Penjawat Awam’ berlangsung secara fizikal dan dalam talian di Ibu Pejabat Maritim Putrajaya pagi tadi.

Program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu menampilkan dua ahli panel jemputan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mengupas tajuk berkenaan.

Program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Mohd Norzam bin Mustapa.

Menurut Mohd Norzam, penjawat awam terutama dalam golongan pelaksana, pegawai dan anggota perlu mengambil inisiatif sejak awal perkhidmatan mengenai hal pengurusan kewangan bagi menyediakan diri menjelang persaraan.

Tambahnya, penjawat awam juga perlu lebih peka mengenai isu ini bagi mengelak sebarang masalah mengenainya sehingga menjejaskan prestasi kerja jika tidak dititik beratkan dari awal dan kurangnya ilmu mengenai hal ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian yang turut dihadiri oleh pengarah-pengarah bahagian Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, antaranya; Pengarah Unit Integriti, Puan Nur Kamariah binti Abd Rahim dan Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Encik Shafee bin Sajat.

Bicara Integriti yang berlangsung lebih kurang dua jam itu diterajui oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Integriti, Ustaz Mohd Ariffin bin Ramdzan sebagai moderator bersama dua orang panel iaitu Penasihat Kewangan AKPK, Encik Mohd Adnan Anan bin Abdullah dan Pegawai Insolvensi Utama, Jabatan Insolvensi Malaysia, Puan Zarina binti Alias.

 

IMG 4048   IMG 4068   IMG 4137   IMG 7906