DUA BOT NELAYAN TEMPATAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN

TANJUNG MANIS, 20 APRIL – Zon Maritim Tanjung Manis menahan dua bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen pada sekitar jam 11.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, tangkapan ini adalah hasil komitmen dan kesungguhan Zon Maritim Tanjung Manis dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di perairan Maritim Malaysia.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot nelayan tempatan itu mendapati, setiap bot dikendalikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan dalam lingkungan umur 21 hingga 57 tahun.

Kedua-dua bot nelayan tempatan itu seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut dan kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia menyarankan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang dan amat mengalu-alukan penyaluran maklumat serta aduan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi terus talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 untuk tindakan segera.

 

LANGGAR SYARAT TG MANIS
 
LANGGAR SYARAT TG MANIS 2
 
LANGGAR SYARAT TG MANIS 3