29
Fri, Mar

BAJ KONTENA HAMPIR KARAM DI KUALA MUDA, KEDAH

GEORGETOWN, 31 Januari – Tular sebuah video di media sosial sejak awal pagi semalam menunjukkan keadaan baj kontena NAMTHONG 27 yang sedang senget semasa ditunda oleh sebuah bot YKP MARINE di perairan Kuala Muda sempadan perairan Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, berdasarkan maklumat daripada agen syarikat, bot tunda dan baj tersebut adalah dalam pelayaran dari Kantang, Thailand ke Pulau Pinang.

Baj tersebut tidak mengalami sebarang kebocoran di bahagian bawah keel, tetapi semasa tiba di Langkawi, satu kompatmen di bahagian belakang (port) dimasuki air laut semasa cuaca buruk dan kelihatan senget ke sebelah kiri.

Bot Tunda dan baj tiba lima batu nautika dari boya no.4 Pelabuhan Pulau Pinang pada jam 6 pagi semalam dan nakhoda mula menyedari bahawa baj telah senget dan dimasuki air.

Nakhoda bot tunda telah mengambil keputusan untuk menunda baj itu ke perairan yang cetek di muara Kuala Muda bagi menyelamatkan baj tersebut dengan kebenaran Jabatan Laut Malaysia negeri Pulau Pinang.

Baj tersebut telah dikandaskan di muara sebelum kerja-kerja mengepam air dalam kompatmen baj dimulakan jam 9.35 pagi semalam sehingga selesai pada jam 8 pagi tadi.

Maritim Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif sebaik menerima laporan tersebut dengan menugaskan sebuah bot PERKASA untuk memantau pelaksanaan mengepam air dan keselamatan laluan pelayaran.

Bot Maritim Malaysia telah merapat di baj pada jam 11 malam semalam dan membantu kerja-kerja mengepam keluar air dari baj.

Pada jam 10 pagi tadi, sebuah bot KILAT Maritim Malaysia ditugaskan ke muara Kuala Muda untuk mengawasi kerja-kerja menarik keluar baj yang dikandaskan.

Baj dan bot YKP MARINE bersama empat kru warga Indonesia dan empat kru warga Thailand berumur dalam lingkungan 31 hingga 51 tahun kini selamat dan dijangka memasuki Pelabuhan Pulau Pinang pada tengah malam dengan diiringi oleh bot PERKASA Maritim Negeri Pulau Pinang.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian kecemasan di laut menerusi hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 - 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 01 31 at 17.11.12 1   WhatsApp Image 2023 01 31 at 17.11.11   WhatsApp Image 2023 01 31 at 17.11.11 1 
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON