LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

 

KOTA TINGGI, 5 November- Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya menahan seramai lapan lelaki dan dua wanita Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk tekong bersama seorang pembantu warga Indonesia berumur lingkungan 14 hingga 43 tahun kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran pada malam semalam.

Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan, Pengarah ZMTS berkata, hasil maklumat awam, bot berjaya ditahan pada kedudukan 3.6 batu nautika Selatan Tanjung Ayam kira-kira pukul 10.20 malam, selepas pihaknya berjaya memintas bot berkenaan yang enggan memberi kerjasama sewaktu diminta berhenti untuk pemeriksaan.

Zulfadli menjelaskan, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagagan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran yang mana jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM 250 ribu atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali,” jelas beliau lagi.

Zulfadli turut berpesan khususnya, warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman supaya menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) tanpa perlu mengadai nyawa.

Maritim Malaysia sentiasa serius untuk memastikan keselamatan bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda di laut. Kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk masuk dan keluar memandangkan cara ini amat merbahaya dimana sindiket penyeludupan manusia dilihat tidak menghargai nyawa penumpang mereka demi keuntungan semata-mata.

 

WhatsApp Image 2019-11-05 at 10.14.51 AM

WhatsApp Image 2019-11-05 at 10.14.58 AM

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Sedeli