LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI, 21 Oktober - Sebuah kapal jenis ‘Bulk carrier’ dan bot ‘teksi air’ berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) atas kesalahan berbeza di Perairan Johor Timur semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan berkata, sebuah kapal jenis bulk carrier dengan tanda nama 'OBE NORARES' ditahan pada jam 1.30 petang di kedudukan 8.5 batu nautika (bn) Timur Laut Tanjung Penawar oleh kapal peronda Maritim Malaysia.

“Bulk carrier yang berdaftar di Bridge Town, Barbados dikendalikan oleh 21 kru berumur lingkungan 20 hingga 54 tahun termasuk Nakhoda (Master) warganegara Syria ditahan setelah pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh” katanya.

Terdahulu, sebuah bot kayu atau 'teksi air' tanpa penumpang bersama dua lelaki warga Indonesia berumur 28 dan 34 tahun turut ditahan pada jam 11.30 pagi di kedudukan 3.5 bn Tenggara Tanjung Penyusop.

“Bulk Carrier tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. Jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala 'teksi air' pula akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967,” jelas beliau lagi.

Zulfadli menjelaskan, penahanan bot kayu yang sedang giat dijalankan ini adalah bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan No 67/2017 yang menghadkan bot-bot asing daripada menjalankan sebarang perkhidmatan dalam Had Pelabuhan. Ia juga salah satu usaha bagi menyekat kejadian curi dan rompak yang melibatkan bot kayu jenis sama.

Maritim Malaysia sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang.

WhatsApp Image 2019-10-21 at 12.38.53 PM

WhatsApp Image 2019-10-21 at 12.38.55 PM

 

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedili