LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI, 16 Oktober – Sebuah lagi ‘teksi air’ dari Indonesia berjaya ditahan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) petang semalam di Perairan Johor Timur, pada kedudukan 3.1 batu nautika Tenggara Tanjung Ramunia, sekitar jam 4 petang, semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan berkata, bot kayu tanpa tanda nama yang lebih dikenali sebagai 'teksi air' bot tersebut ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia setelah dilihat bergerak dan cuba merapat ke kapal dalam keadaan mencurigakan.

“Dua lelaki warga Indonesia yang berumur 41 dan 55 tahun ditahan bersama bot kayu tersebut dengan lima penumpang warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 54 tahun yang juga merupakan kru-kru kapal dagang” katanya

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967 kerana berapung-apung dalam keadaan mencurigakan, Seksyen 26J Atipsom 2007 kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan Seksyen 447 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dibaca bersama pekeliling Pelabuhan 67/2017 iaitu Larangan Vesel asing melakukan perkhidmatan dalam Had Pelabuhan.

Zulfadli menjelaskan, penahanan dibuat sebagai langkah pencegahan kejadian curi dan rompak yang melibatkan bot kayu jenis sama. Penahanan tersebut dilakukan bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan No 67/2017 yang menghadkan bot-bot asing menjalankan apa-apa perkhidmatan dalam Had Pelabuhan.

Pengusaha kapal sekali lagi diseru supaya melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa agar kejadian tidak diingini dapat ditangani dengan lebih efektif dan mencadangkan agar mereka menggunakan perkhidmatan marin yang ditawarkan oleh kapal atau bot tempatan berpangkalan di Malaysia.

Maritim Malaysia sentiasa serius dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang.

WhatsApp Image 2019-10-16 at 12.18.44 PM

WhatsApp Image 2019-10-16 at 12.18.45 PM 1

WhatsApp Image 2019-10-16 at 12.18.45 PM

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedeli