LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI, 14 Oktober - Sebuah kapal jenis motor tanker dan dua buah bot iaitu 'lima sore' dan 'teksi air' berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) di perairan Johor Timur disini, semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan berkata, bot pertama ditahan pada jam 7.30 pagi di kedudukan 3.5 batu nautika (bn) Selatan Tanjung Penyusop dan 'teksi air' ditahan pada jam 9.26 pagi pada kedudukan 2.5 bn Selatan Tanjung Bulat oleh bot ronda Maritim Malaysia setelah dilihat berapung-apaung dan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Tiga lelaki warga Indonesia yang berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun ditahan bersama bot kayu 'lima sore' dan akan disiasat di bawah Seksyen 44 dan 49 Akta Kastam 1967,” katanya.

“Manakala 'teksi air' bersama seorang tekong berumur 33 tahun dan seorang penumpang berumur 25 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967, Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007 serta Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63,” jelas beliau lagi. Menurut Zulfadli dalam operasi yang sama, sebuah kapal tangki (Motor Tanker) dengan tanda nama "FITRI 7" dan Pelabuhan Malabo, Equatorial Guinea sebagai pelabuhan berdaftarnya pula ditahan pada jam 1.00 tengah hari di kedudukan 7.4 bn Timur Tanjung Penawar.

“Kapal yang dikendalikan oleh sembilan kru termasuk Nakhoda (Master) berumur lingkungan 27 hingga 47 tahun warganegara Indonesia turut ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) dan Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut serta kru kapal tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate,” katanya.

Zulfadli menjelaskan, penahanan bot kayu pada kali ini juga dilakukan bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan No 67/2017 yang menghadkan bot-bot asing menjalankan apa-apa perkhidmatan dalam Had Pelabuhan dan juga dibuat sebagai langkah pencegahan kejadian curi dan rompak yang melibatkan bot kayu jenis sama. Maritim Malaysia sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang.

WhatsApp Image 2019-10-14 at 12.45.39 PM

WhatsApp Image 2019-10-14 at 12.45.40 PM

WhatsApp Image 2019-10-14 at 12.45.43 PM

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedeli