LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

 

KOTA TINGGI, 10 Oktober - Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya menahan sebuah bot kayu tanpa tanda nama yang lebih dikenali 'teksi air' dari Indonesia petang semalam di Perairan Johor Timur.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan berkata, bot tersebut ditahan pada jam 2.40 petang di kedudukan 2.0 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop oleh bot ronda Maritim Malaysia kerana dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Dua lelaki warga Indonesia yang berumur 16 dan 47 tahun ditahan bersama bot kayu tanpa penumpang serta kargo terbabit dan akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967,”katanya.

Zulfadli menjelaskan, penahanan dibuat sebagai langkah pencegahan kejadian curi dan rompak yang melibatkan bot kayu jenis sama. Penahanan tersebut dilakukan bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan N0 67/2017 yang menghadkan bot-bot asing menjalankan apa-apa perkhidmatan dalam Had Pelabuhan.

Pengusaha kapal dinasihatkan agar melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa agar kejadian tidak diingini dapat ditangani dengan lebih efektif dan mencadangkan agar mereka menggunakan perkhidmatan marin yang ditawarkan oleh kapal atau bot tempatan berpengkalan di Malaysia.

Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang.

teksi air 2

teksi air 3

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedili