KUALA LINGGI, 4 Oktober Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta lima orang tekong darat dan laut berjaya ditahan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakandi perairan Sungai Pelek, Sepang.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman bin Samsudinberkata, pihaknya berjaya menahan tekong dan PATI terbabit dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 8 malam tadi.

”Hasil maklumat risikan, kita berjaya menahan lima lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 36 tahun serta lima tekong warga Malaysia dan Indonesia yang kesemuanya lelaki berumur lingkungan 43 hingga 52 tahun. Selain itu, tiga buah kenderaan dan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran turut disita ” katanya dalam satu kenyataan media disini, hari ini.

Tambahannya, operasi khas ini dijalankan selepas mereka menerima maklumat tentang pergerakan sebuah bot yang mencurigakan di perairan Kuala Sepang, dan pihak Maritim Malaysia berjaya mengekori serta menahan bot tersebut.

”Kesemua yang ditahanakan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelasnya.

Menurut Azman, setakat ini sebanyak 17 kes tangkapan berjaya direkodkan di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) oleh Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan.

Pihaknya sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, dan meminta orang ramai menyalurkan sebarang aktiviti jenayah dan kecemasan di laut di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

tekong dan pati 2