KOTA TINGGI, 1 Oktober - Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya menahan tiga bot kayu tanpa pendaftaran yang lazimnya dikenali sebagai 'pom-pom atau Lima Sore' pagi semalam di Perairan Johor Timur.  

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan, berkata bot pertama ditahan pada jam 10.25 pagi pada kedudukan 9.0 batu nautika Timur Tanjung Penawar manakala bot kedua dan ketiga ditahan pada jam 11.00 pagi di kedudukan 15 batu nautika Timur Tanjung Balau oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin rondaan.

“11 lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 21 hingga 42 tahun ditahan bersama-sama ketiga-tiga bot yang membawa sejumlah muatan rokok dan minuman keras dalam jumlah yang kecil tanpa cukai terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Kastam 1967,” katanya.  

Tambah Zulfadli lagi, penahanan juga bertujuan untuk pencegahan kejadian rompakan di laut dan kecurian terhadap kapal di mana terdapat beberapa aduan kecurigaan dan percubaan melibatkan bot- bot jenis yang sama. Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur.  

Beliau menasihatkan, pengusaha-pengusaha kapal khususnya kapal-kapal bersaiz mega supaya menggunakan laluan perairan ini dengan lebih berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghindari kejadian tidak diingini seperti kecurian atau pun rompakan.

''Diingatkan bahawa Perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Perairan Wilayah Malaysia dan bukannya Perairan Antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika daripada daratan terdekat” jelas beliau.  

Justeru, pemilik kapal diingatkan supaya memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) sebelum melabuhkan sauh.

 

BOT LIMA SORE

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedeli