KOTA TINGGI, 02 Okt - Maritim Malaysia, Zon Maritim Tg. Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah kapal tangki kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran pada petang semalam di perairan Permatang Timur, Pantai Timur Johor.


Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan, Pengarah ZMTS berkata, ''MT MARIOS G yang panjangnya 175 Mtr dan berdaftar di Panama ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan lebih kurang 11 batu nautika Timur Tanjung Penawar pada lebih kurang 4.10 petang.


Menurutnya lagi, penahanan dibuat setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut.


''Kapal tersebut yang dikendalikan oleh 24 kru termasuk Nakhoda (Master) berwarganegara Filipina berumur lingkungan 20 hingga 58 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut masih belum melantik agen perkapalan tempatan bagi mendapatkan kelulusan Pengarah Laut dan kru-kru kapal tidak berkerjasama sepenuhnya." jelasnya.


''Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya'' katanya lagi.

PR BERLABUH TANPA KEBENARAN

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedeli