KUALA KURAU, 26 September – Zon Maritim Kuala Kurau menahan dua bot nelayan di perairan Kuala Gula selepas didapati melakukan aktiviti pukat kenka di kawasan larangan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Bin Ghazali berkata, dua bot pukat kenka itu ditahan pada jam 10.40 pagi tadi ketika bot ronda APMM melakukan rondaan rutin yang diketuai oleh Bintara Muda Maritim Mohd Khusairi bin Abd Fatah bersama empat orang kru.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan luar dari kawasan dibenarkan dan tidak usaha sendiri seperti yang dinyatakan di dalam buku lesen,” jelasnya.

Dua tekong dan satu awak-awak warga tempatan berumur antara 40an hingga 50an telah ditahan kira-kira 5.7 batu nautika barat Kuala Gula, Perak.

"Bot-bot tersebut bersama ikan dan udang campur anggaran 130 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau, Perak untuk siasatan serta tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985”, katanya.

Menurutnya lagi, dua tekong dan satu awak-awak itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan kedua-dua tekong dan seorang awak-awak diambil.

“Perjumpaan dengan Pengarah Perikanan Daerah Kerian baru-baru ini, Encik M Sahiburrahman bin Ahmad telah membincangkan isu-isu pukat kenka dua bot. Kedua-dua agensi kerajaan ini memandang serius terhadap aktiviti tersebut dan telah bersetuju untuk melaksanakan kolobrasi bagi mengatasi pencerobohan kawasan yang sering terjadi di kawasan perairan Kuala Kurau - Tanjung Piandang.

“Kerjasama dari masyarakat terutamanya golongan nelayan amat dialu-alukan”. katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DUA BOT KENKA DITAHAN 2

DUA BOT KENKA DITAHAN

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Kuala Kurau