KUCHING, 7 September– Seorang nelayan dipercayai warganegara Filipina yang ditemui hanyut selamat apabila diselamatkan oleh bot milik pelantar di perairan Miri. Mangsa menyatakan bahawa dia telah terpisah dengan ‘motherboat’ atau bot induk selama 5 hari semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Biintulu-Miri.

            Mangsa yang hanya dikenali sebagai Worknel yang berumur lingkungan 60-an telah diberikan rawatan awal dan juga makanan oleh kru yang berada di atas pelantar. Maritime Rescue Sub Centre(MRSC) Kuching yang telah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut segera mengambil tindakan dengan menghantar aset yang sedang beroperasi untuk ke lokasi seperti yang dilaporkan untuk memberikan bantuan selanjutnya ke atas mangsa.

            Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, Maritim Negeri Sarawak segera menghantar aset untuk menyelamatkan mangsa yang dilaporkan berada di atas kapal MV Fermann sebaik menerima laporan mengenai perkara tersebut.

            “Mangsa telah selamat dipindahkan ke atas kapal Maritim Malaysia pada lebih kurang jam 11.00 malam dan telah selamat merapat di jeti Marina Bay Miri lebih kurang jam 8.15 pagi tadi. Kami akan menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk memeriksa keadaan mangsa dan seterusnya akan menyerahkan mangsa kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya. Laporan polis juga telah dibuat memandangkan mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.” katanya lagi.

            Robert dalam pada itu mengingatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut. Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah pastikan alat komunikasi yang berada di atas bot atau kapal berfungsi dengan baik, membawa bersama peralatan kecemasan seperti Personal Locator Beacon (PLB) untuk memudahkan Maritim Malaysia mengesan jika terdapat sebarang kecemasan di laut selain membawa peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kecemasan dan aktiviti mencurigakan di perairan Malaysia supaya menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam atau MERS 999.

NELAYAN FILIPINA TERKANDAS

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Sarawak