LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PUTRAJAYA, 20 SEPT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah mengusir keluar kapal penguatkuasa Vietnam Fisheries Resources Surveillance KN 205 yang telah mengganggu aset Maritim Malaysia iaitu KM Langkawi ketika menjalankan tugas, menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam KG 95857 TS, yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara di kedudukan kira-kira 167 batu nautika timur laut Tg Mat Amin, Terengganu lebih kurang jam 9.48 pagi pada 18 September lalu.

Dalam kejadian pada pagi 18 Sep lalu, kapal Penguatkuasa Vietnam terbabit telah cuba menghalang anggota penguatkuasa Maritim Malaysia dengan cuba menghimpit bot tahanan selain membuat pusingan berbahaya dihadapan KM Langkawi.

Namun cubaan mereka gagal apabila KM Langkawi berjaya menghalang mereka daripada merapati bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut.

            Pihak Maritim Malaysia telah memaklumkan insiden tersebut kepada kepada Wisma Putra.     

Maritim Malaysia juga telah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam untuk mengadakan perbincangan bagi menangani insiden yang berlaku dengan kadar segera pada hari ini, malangnya beliau tidak dapat hadir dan hanya akan bertemu wakil dari Bahagian Operasi Maritim Malaysia pada minggu hadapan.

Pada mulanya, kapal penguatkuasa Vietnam itu meminta agar KM Langkawi melepaskan bot nelayan mereka daripada ditahan, namun KM Langkawi tidak memenuhi permintaan mereka berikutan bot nelayan berkenaan telah melakukan kesalahan yang berat iaitu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia, dan telah mengarahkan kapal tersebut keluar dari perairan negara.

            Bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Vietnam ditahan dan turut dirampas diesel anggaran 9,000 liter serta peralatan menangkap ikan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM700,000.

            Bot dan semua kru Vietnam tersebut telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman jam 6 petang pada 19 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

            Maritim Malaysia akan meneruskanoperasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam. Sejak 2006 hingga kini, Maritim Malaysia telah berjaya menahan 1272 bot nelayan asing dengan jumlah kru yang ditahan sebanyak 10,408 orang. Dari jumlah tersebut, sebanyak 784 buah bot merupakan bot nelayan Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 7399. Nilai rampasan keseluruhan bot nelayan asing sejak 2006 dianggarkan berjumlah RM1.2 bilion.

apmm halau kapal penguasa vietnam 2

apmm halau kapal penguasa vietnam

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia