KUCHING, 5 September - Maritim Negeri Sarawak berjaya menahan empat buah kapal dan 44 nelayan warga Vietnam di Barat Laut Tanjung Sirik, pada Selasa.

Kesemua kapal tersebut ditahan antara pukul 6.30 petang hingga 8.00 malam 3 September yang lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Komander Maritim Hamiludin Che Awang berkata, selain menyita keempat-empat kapal itu, anggota Maritim turut merampas kira-kira 42.5 tan hasil laut dan 37,870 liter minyak diesel. Ia juga merupakan kejayaan operasi Op Naga Timur yang telah mula dilancarkan pada 1 Ogos untuk membanteras bot nelayan asing (BNA) yang rakus mencuri hasil laut di perairan Sarawak.

Katanya, hasil laut yang dirampas itu termasuk 31 tan pelbagai jenis ikan dan 11.5 tan merupakan ikan baja dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah melebihi RM4 juta termasuk nilai empat buah kapal, ikan, minyak diesel dan juga pelbagai peralatan menangkap ikan,” katanya di sini hari ini.

Hamiludin menambah, siasatan awal mendapati kesemua nelayan termasuk tekong vessel berkenaan berusia antara 16 hingga 54 tahun.

Katanya, mereka ditahan selepas disyaki menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram. Ini merupakan kes ke 13 secara keseluruhan membabitkan BNA di negeri Sarawak pada tahun ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran,” ujarnya.

BNV CEROBOH PERAIRAN SARAWAK 1

BNV CEROBOH PERAIRAN SARAWAK 23

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Sarawak