KOTA KINABALU, 17 SeptemberMaritim Negeri Sabah telah berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam. Bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran tersebut telah ditahan oleh Kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan di posisi lebih kurang 45 batu nautika Barat Laut, Pulau Mantanani jam lebih kurang 10.15 pagi semalam.

Menurut Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Sabah, “Seramai 5 orang awak-awak termasuk seorang tekong warganegara Vietnam lingkungan umur 28 tahun hingga ke 58 tahun didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tersebut juga tidak memiliki sebarang dokumen pendaftaran bot.

Hasil pemeriksaan lanjut yang telah dilakukan oleh tim menggeledah kapal maritim mendapati terdapat peralatan untuk menangkap gamat di atas bot nelayan asing itu dan disyaki bot nelayan asing tersebut cuba menangkap gamat di perairan negara, selain itu tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen bertulis atau lesen daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap gamat di perairan negara.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut bot dan awak-awak telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Perikanan 1985. Tekong bersama awak-awak telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah, menyatakan Kapal Maritim yang beroperasi telah berjaya menjejak bot nelayan Vietnam ini dalam Operasi Naga Timur yang telah dilaksanakan oleh pihak Maritim Malaysia pada awal Ogos. Menerusi operasi ini juga pihak Maritim sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara untuk dijual dipasaran luar negara. Beliau menegaskan bahawa pihak Maritim tidak akan berkompromi dengan mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Pihak Maritim negeri Sabah mohon kerjasama daripda komuniti maritim    untuk menyalurkan sebarang maklumat dan asuan jenayah di laut ke talian 088-270185 Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah.

bnv ceroboh perairan sabah

bnv ceroboh perairan sabah 2