LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KEMAMAN, 3 SEPTEMBER – Dua bot nelayan asing bersama 17 nelayan termasuk tekong yang merompak hasil laut Negara berjaya ditahan Maritim Malaysia menerusi OP IMAN dan OP NAGA BARAT yang dilaksanakan sekitar di perairan Negeri Terengganu kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi bin Abd Rashid berkata, kesemua bot nelayan asing dengan no pendaftaran KG 95407 TS dan KG 95406 TS ditahan pada 1 September sekitar jam 9 pagi hingga 11 pagi.

Hasil pemeriksaan, Maritim Malaysia berjaya menahan dua buah bot bersama 17 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur antara 20 hingga 53 tahun, sekitar 132 hingga 134 batu nautika timur laut Kuala Kemaman.

Menurut beliau, 2 tan ikan campur, 2 tan ikan baja, diesel anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan berjaya di rampas. Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

“Kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” kata beliau lagi.

Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.