LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

JOHOR BAHRU, 26 OGOS – Tekong bersama tiga awak-awak ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Kapal Peronda Maritim Negeri Johor hari ini kerana didapati melanggar syarat sah lesen perikanan dengan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan.


Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, “nelayan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan di bot kelas B ketika sedang menunda pukat pada kedudukan lebih kurang 3.4 batu nautika barat daya Sungai Sanglang, Pontian sekitar jam 10.15 pagi.”


"Sikap pengusaha bot yang tidak mematuhi syarat sah lesen ini dikhuatiri akan merosakkan ekosistem laut sekali gus akan menjejaskan pendapatan nelayan terutamanya nelayan pantai" ujar beliau.


"Bot serta nelayan yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor, Sungai Pulai untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana kesalahan melanggar syarat sah lesen. Bot nelayan yang diiring masuk itu selamat tiba kira-kira jam 3.30 petang tadi bersama hasil tangkapan ikan seberat lebih kurang 200 kilogram" katanya.

Aminuddin turut menyeru kepada seluruh komuniti maritim untuk bersama-sama memelihara kesejahteraan maritim bagi kelangsungan sumber laut agar dapat terus dinikmati generasi masa hadapan. Salurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

BNT LANGGAR SYARAT LESEN

 Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Johor