LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KEMAMAN, 26 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, menahan sebuah bot nelayan asing bersama 14 nelayan termasuk tekong warga Vietnam menerusi Operasi Iman yang dilaksanakan di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi bin Abd Rashid berkata, bot asing dengan no pendaftaran PAF 4904 ditahan pada jarak lebih kurang 117 batu nautika dari Kuala Kemaman bersama 14 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur dalam lingkungan 26 hingga 48 tahun pada 10.05 pagi semalam.

"Turut dirampas hasil tangkapan ikan sebanyak dua tan dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM 300,000.00,” katanya.

Beliau memberitahu, bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Menurut Komander Maritim Rashidilhadi, pihaknya percaya bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran tempatan dengan penemuan bongkah nombor pendaftaran Malaysia untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan,” jelas beliau.

Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Negara sentiasa selamat dan terpelihara.