LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KOTA TINGGI, 26 Ogos - Maritim Malaysia, Zon Maritim Tg. Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah kapal tangki tanpa muatan kerana berlabuh tanpa kebenaran pada pagi ini di kedudukan lebih kurang tiga batu nautika Timur Tanjung Sepang.

Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan, Pengarah ZMTS berkata, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Malaysia ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada jam lebih kurang 10.35 pagi. Kapal tersebut ditahan setelah pemeriksaan mendapati kapal itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh yang sah dari Pengarah Laut dan kru tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate.

"Kapal tersebut yang berdaftar di Pelabuhan Klang dikendalikan oleh 10 kru termasuk Nakhoda (Master) berumur lingkungan 24 hingga 50 tahun yang mana kesemuanya lelaki warganegara Indonesia. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut," jelas beliau.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi boleh didenda sehingga RM 100 ribu. Dua kru kapal tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya'' katanya lagi.

Zulfadli menjelaskan lagi, penahanan kali ini merupakan kes ke tiga melibatkan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi bulan ini untuk ZMTS. Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin serta mematuhi undang-undang.

SM MSO 26 OGOS

 

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedili