LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

ALOR SETAR, 11 Ogos- Pencarian mayat seorang nelayan disyaki terjatuh dari bot fiber semasa cuaca buruk dan laut bergelora Jumaat lalu, berakhir apabila mayat mangsa ditemui petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad berkata, mayat mangsa Azimat bin Hassan 62, ditemui terdampar berhampiran kawasan pantai oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)  yang melakukan pencarian di kawasan tersebut. Mayat mangsa ditemui pada jam 06.25 petang.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua itu, melibatkan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia , Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi pada hari ini turut dibantu pesawat udara milik PDRM, iaitu pesawat King Air yang membuat pencarian dari udara,” katanya.

Seramai 40 nelayan setempat bersama 27 bot nelayan turut membantu dalam usaha mencari nelayan yang dilaporkan hilang.

Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkordinasi operasi mencari dan Menyelamat di laut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti nelayan yang terlibat.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 08.00 malam dan mayat mangsa dibawa oleh pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.

PENCARIAN NELAYAN HILANG TEMUI TITIK NOKTAH 2

PENCARIAN NELAYAN HILANG TEMUI TITIK NOKTAH

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Kuala Kedah