LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 8 OGOS – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan pada jarak lebih kurang 11.3 batu nautika dari Barat Muka Head oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang lebih kurang jam 1.33 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Bin Harun berkata, hasil dari pemeriksaan, seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 54 tahun bersama tiga orang awak-awak warga Thailand semuanya lelaki berumur 28 hingga 61 tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat.

"Bot berkenaan bersama ikan campur anggaran 500 kg dan ikan baja anggaran 500 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut. Pihak kami memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar Komuniti Maritim Pulau Pinang bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

BOT PUKAT TUNDA ZON C DITAHAN CEROBOH KAWASAN TANGKAPAN

BOT PUKAT TUNDA ZON C DITAHAN CEROBOH KAWASAN TANGKAPAN 2

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Pulau Pinang