BATU PAHAT, 4 Ogos – Sebuah bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Batu Pahat terbalik ketika keluar mencari rezeki di laut di kedudukan kira-kira 9.5 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor pagi tadi.

Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad bin Othman berkata, bot berkenaan pada awalnya dilaporkan keluar untuk menangkap ikan dan akan pulang pada esok hari. Pada waktu kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, tali pukat bot telah tersangkut pada sebuah kapal dagang yang melalui kawasan tersebut yang mengakibatkan bot tersebut diheret dan gagal dikawal lalu terbalik.

“Keempat-empat orang awak-awak berjaya menyelamatkan diri dan menunggu bantuan di atas bot yang terbalik itu. Sejurus menerima makluman kejadian, Maritim Malaysia telah menggerakkan dua buah bot bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa. Kesemua mangsa yang berumur di antara 28 hingga 49 tahun itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut,” jelas beliau.

Para nelayan diingatkan agar sentiasa menyediakan peralatan keselamatan secukupnya dan memastikan kondisi bot dalam keadaan baik sebelum turun ke laut mencari rezeki kerana dikhuatiri keadaan cuaca buruk sejak kebelakangan ini. Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020.

bot terbalik. 2

bot terbalik

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Batu Pahat