LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

ALOR SETAR, 4 Ogos - Seramai 18 nelayan tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) Zon Maritim Kuala Kedah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar di perairan Kuala Kedah dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, 30 nelayan menjalani saringan air kencing dan 18 daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu dan heroin sewaktu pemeriksaan dijalankan.

Mahmad Faizal berkata, operasi itu bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di sekitar kawasan tersebut, di samping mencegah pelakuan jenayah maritim lain. Operasi bersama ini juga adalah bertepatan dengan Projek Rintis Agensi Antidadah Kebangsaan dalam menangani masalah sosial tersebut.

“Kesemua nelayan yang didapati positif dadah ini telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut oleh pihak AADK,” jelas beliau.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut, menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

18 PENAGIH DITAHAN OPERASI BERSAMA MARITIM MALAYSIA

18 PENAGIH DITAHAN OPERASI BERSAMA MARITIM MALAYSIA 2

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam zon Maritim Kuala Kedah