LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PERLIS, 19 Julai - Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis telah merampas kira-kira 10 set peralatan bubu naga yang dipasang di perairan Kuala Perlis pada jarak lebih kurang 0.7 batu nautika daripada barat pantai Kuala Perlis, Perlis pada jam 03.30 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis berkata, Komander Maritim Nurulazme Bin Zakariah berkata, 10 set peralatan bubu naga yang masing-masing berukuran 10 meter panjang itu ditemui hasil rondaan oleh bot peronda Maritim Malaysia. Bubu naga tersebut dipasang di beberapa lokasi yang menjadi lubuk bagi mendapatkan hasil laut oleh nelayan tempatan.

Menurut beliau lagi, penggunaan bubu naga diharamkan kerana ia boleh menjejaskan sumber perikanan dan sebarang bubu adalah tidak dibenarkan dipasang secara berangkai atau bersambung. Kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Kesemua bubu naga tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tambahannya lagi, kejayaan dalam beberapa operasi terbaharu ini adalah hasil kerjasama diantara komuniti nelayan dan Maritim Malaysia menerusi perjumpaan dan sesi dialog yang telah dilaksanakan. "Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis turut mewujudkan kampung angkat untuk mengeratkan persefahaman bersama nelayan bagi menangani isu perlanggaran peraturan Perikanan, " katanya.

“Pihak Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia. Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” jelas beliau.

 

Sumber:

Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Kuala Perlis

LK (M) Mohd Shakyff Rizal bin Mohd Sali