LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PASIR PUTEH, 17 JUN Kedegilan tiga buah bot nelayan asing Vietnam yang merompak hasil laut negara membawa padah apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail bin Hamzah berkata tangkapan ini dilakukan sekitar 81 batu nautika sehingga 98 batu nautik dari Muara Tok Bali pada jam lebih kurang 7.30 pagi sehingga 10.30 pagi dalam op khas yang dipanggil Op Naga oleh Kapal Maritim Jujur (Km Jujur) yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Tan Ah Bik.

”Bot-bot nelayan asing yang ditahan itu mempunyai seramai 6 orang hingga 16 orang awak-awak dan tekong yang berumur di antara 13 tahun sehingga 45 tahun termasuk tiga orang kanak-kanak bawah umur menjadikan jumlah tahanan seramai 33 orang.

”Kesemua buah bot cuba melarikan diri apabila dirapati oleh KM Jujur namun berjaya ditahan setelah beberapa kali dipintas”, katanya.

Ketiga-tiga buah bot nelayan asing ini bawa masuk ke Jeti APMM Tok Bali untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan termasuk bot, peralatan dan hasil laut dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Penahanan tiga buah bot nelayan asing ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan Maritim Malaysia Negeri Kelantan bagi bot nelayan asing berjumlah 263 buah sejak awal penubuhannya.

Tambah beliau, masyarakat setempat, komuniti nelayan dan pengguna laut yang terlihat sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut hendaklah segera menghubungi pihak Maritim Malaysia melalui talian MERS 999 atau 09-778 0070 (Pusat Operasi) Maritim Malaysia Negeri Kelantan. Selain itu, aduan juga boleh dibuat menerusi laman sesawang e-aduan di http://aduan.mmea.gov.my dan maklumat pengadu akan dilindungi.