LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 18 JUN – Sebuah bot nelayan tempatan jenis lampu ditahan pada jarak lebih kurang 0.8 batu nautika dari Barat Daya Pulau Rimau oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang pada jam 4.35 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang dan telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan jenis lampu.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati seorang tekong lelaki warganegara Thailand berumur 35 tahun dan seorang kru lelaki warganegara Kemboja berumur 49 tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu gagal mempamerkan lesen yang sah sewaktu diperiksa dan disyaki beroperasi dengan lesen telah tamat tempoh.

“Bot berkenaan beserta tekong dan seorang kru diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau juga menegaskan Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di perairan Pulau Pinang.

Orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

BOT LAMPU DITAHAN

BOT LAMPU DITAHAN 2

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang