LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

ALOR SETAR, 29 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 100 set peralatan menangkap ikan iaitu bubu kamban yang juga dikenali sebagai bubu naga (China Prawn Net Trap) di kawasan Pantai Kuala Sanglang awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad, berkata, rondaan pada jam 2.30 pagi di sekitar kawasan perairan Sanglang, telah menemukan bubu naga berkenaan yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang. Peralatan tersebut dipercayai dipasang di beberapa lokasi yang berbeza sepanjang kawasan tersebut.

Tambah beliau, Jabatan Perikanan Kuala Kedah telah memaklumkan bahawa pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk peralatan bubu naga di perairan Negeri Kedah.

“Penggunaan Bubu Naga diharamkan kerana boleh menjejaskan sumber perikanan lain, tidak boleh berangkai dan bersambung kerana ia perlu dibuat satu persatu asalkan mempunyai dua injap seunit,” katanya.

Kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM 9,200.00 kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2),dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sepanjang bulan Mei 2019, sebanyak 200 unit bubu naga telah dirampaskan dengan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM 18,500.00.

PR 100 BUBU NAGA

PR 100 BUBU NAGA 2

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Kuala Kedah