PELABUHAN KLANG, 27 Mei – Cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu dan membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak berjaya apabila dua buah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor pada jarak lebih kurang 0.3 batu nautika dari Pulau Ketam pada tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, bot ronda maritim telah mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru dalam keadaan mencurigakan menuju ke Pulau Angsa dari Pulau Ketam, dipercayai membawa keluar PATI.

“Sebaik menyedari kehadiran kami beberapa lelaki bertindak melarikan diri dengan membawa bot ke arah hutan paya bakau berhampiran dan meninggalkan tiga wanita di dalam bot berkenaan,” ujar beliau.

Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga wanita warganegara Indonesia mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ingin menuju ke Pulau Angsa yang dijadikan lokasi transit ke Indonesia. Sebuah beg hitam mengandungi dadah jenis Methamphetamine (syabu) yang dibungkus dalam lima bungkusan plastik berwarna coklat turut ditemui di atas bot tersebut. Bungkusan syabu seberat kira-kira satu kilogram itu dianggarkan bernilai lebih kurang RM 100,000.

“Susulan tangkapan berkenaan, sebuah lagi bot gentian kaca turut ditahan di kawasan berhampiran bersama enam lelaki termasuk tekong dan dua wanita. Kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia yang juga ingin menuju ke lokasi transit yang sama. Mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ingin pulang ke kampung halaman melalui jalan yang tidak diwartakan,” tambah beliau lagi.

Beliau menambah, menjelang musim perayaan Aidil Fitri, pihaknya kini meningkatkan pemantauan ke atas laluan bot-bot yang disyaki akan membawa keluar dan masuk PATI bagi menangkap tekong-tekong dan sindiket yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang serta jenayah-jenayah lain seperti dadah dan penyeludupan.

Kesemua mereka yang berumur di antara 24 hingga 60 tahun itu kemudiannya dibawa ke Jeti Pulau Indah bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, serta Akta Dadah Berbahaya 1952.

BAWA SYABU PULANG BERAYA

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Selangor