LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

 KOTA TINGGI, 27 Mei - Maritim Malaysia, Zon Maritim Tg. Sedili (ZMTS) telah menahan dua kapal kerana berlabuh tanpa kebenaran pada petang semalam di perairan Johor Timur.

Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan, Pengarah ZMTS berkata, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Republik Dominica ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 3.2 batu nautika Timur Tanjung Penyusop pada jam lebih kurang 3.50 petang dalam Op Khas Pagar Laut 2/19 yang dilancarkan sejak 20 Mei lalu sempena musim perayaan. Penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari Pengarah Laut.

“Sebuah lagi kapal jenis Self Propelled Barge berdaftar di Singapura ditahan pada lebih kurang 5.30 petang di kedudukan 2.6 batu nautika Timur perairan yang sama dan hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut dan kru tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate,” ujar beliau.

Menurut Zulfadli lagi, kapal pertama yang ditahan dikendalikan oleh tujuh kru termasuk Nakhoda (Master) berumur lingkungan 32 hingga 46 tahun. Manakala kapal kedua ditahan dikendalikan 12 kru termasuk Nakhoda berumur lingkungan 22 hingga 49 tahun. Kesemua kru kedua-dua kapal adalah daripada warganegara Indonesia.

''Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi Seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi boleh didenda sehingga RM 100 ribu. Dua kru setiap kapal tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya'' katanya lagi.

MSO 27 MEI.2

MSO 27 MEI

 

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tg.Sedili