GEORGETOWN, 27 Mei – Sebuah bot pelancong menerima padah apabila ditahan oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Bin Harun berkata, bot pelancong itu dalam perjalanan untuk membawa pelancong dari Jeti Teluk Bahang ke Monkey Beach ditahan pada jarak lebih kurang 0.1 batu nautika dari Utara Tanjung Pandan, Teluk Bahang pada jam 3.30 petang kelmarin.

“Ketika pemeriksaan, seorang operator bot lelaki warga tempatan berumur 20 tahun   berada di atas bot. Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan Sijil Kompetensi, lesen bot tamat tempoh dan beroperasi tanpa perlindungan insurans bot. Selain itu, operator bot tersebut juga disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki penagih dadah,” katanya.

Beliau juga menegaskan Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar Perairan Pulau Pinang serta mengingatkan pemilik bot pelancong haruslah mematuhi segala peraturan dalam pengoperasian bot pelancong serta menggaji operator bot yang bebas daripada masalah sosial.

BOT PLEANCONG PELBAGAI KESALAHAN DITAHAN

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Pulau Pinang