LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PONTIAN, 26 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor berjaya menemukan dua mayat yang dipercayai dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas turun ke laut pada 23 Mei lalu di kedudukan satu batu nautika barat daya Tg. Laboh, Batu Pahat dan Sungai Tampok, Benut awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, Mayat pertama dijumpai terapung pada posisi lebih kurang satu batu nautika barat daya Tg. Laboh, Batu Pahat pada jam 8.15 pagi tadi oleh tim pencari dan SAR dari Zon Maritim Batu Pahat. Manakala mayat kedua ditemui terapung di posisi lebih kurang satu batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut pada 9.50 pagi tadi oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam pencarian.

“Mayat pertama ditemui terapung lebih kurang 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk pengecaman dan pengesahan oleh keluarga mangsa, manakala mayat kedua pula ditemui lebih kurang tujuh batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang dibawa ke Jeti Nelayan Ayer Baloi bagi tujuan sama,” jelas beliau.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari selepas kedua-dua mayat yang ditemui disahkan oleh keluarga mangsa,” ujar Aminuddin lagi.

Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi dan komuniti maritim yang terlibat di atas komitmen yang tinggi dan kerjasama di dalam operasi SAR yang dikoordinasikan ini. Maritim Malaysia menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan jenayah maritim dan kecemasan di laut dengan menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 khususnya bagi kejadian di perairan Johor.

2 MAYAT DITEMUI

2 MAYAT DITEMUI.1

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Johor