LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 25 Mei – Akibat menceroboh kawasan penangkapan ikan di Zon B, sebuah bot nelayan tempatan kelas C menerima padah apabila ditahan oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Bin Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 8.4 batu nautika dari Barat Muka Head pada jam 2.30 awal pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga Thailand berusia 37 tahun bersama dua orang awak-awak warga Thailand semuanya lelaki berusia 44 tahun dan 59 tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan, di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat,” katanya.

"Bot berkenaan bersama dua gulung pukat tunda, ikan campur anggaran 100 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Tegasnya, pihak Maritim Negeri Pulau Pinang akan terus menggandakan usaha membanteras kegiatan langgar syarat lesen perikanan kerana ia menggangu ekosistem marin dan menjejaskan ekonomi nelayan pesisir pantai.

TUNDA PUKAT DILUAR ZON BOT NELAYAN DITAHAN. 1

TUNDA PUKAT DILUAR ZON BOT NELAYAN DITAHAN. 2

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang