LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PUTRAJAYA, 23 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima buah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan mencuri hasil perikanan negara di perairan Terengganu dalam dua operasi berasingan pada 21 dan 22 Mei baru-baru ini.

Laksamana Madya Maritim Dato’ Mohamad Zubil bin Mat Som, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia berkata, KM Pekan dari Maritim Negeri Pahang telah menahan  tiga  buah bot nelayan Vietnam ketika mereka melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kira-kira 30 batu nautika sehingga 100 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Menurut beliau, KM Pekan kini sedang giat melakukan operasi penguatkuasaan Operasi Makmur, Operasi Iman dan Operasi Damai Siri 30/2019 bagi tiga negeri sekaligus yang meliputi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Tiga buah bot nelayan Vietnam bersama  23 awak-awak termasuk tekong telah ditahan di kedudukan kira-kira 100 batu nautika selepas lima jam adegan kejar mengejar. Kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki permit yang sah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri”, katanya.

Pada 22 Mei 2019, kira-kira jam 8 pagi,  KM Pekan berjaya mengesan sebuah lagi bot nelayan yang mencurigakan dengan penggunaan nombor pendaftaran palsu bot nelayan tempatan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan lebih kurang 30 batu nautika dari Kuala Terengganu.  

Jelas beliau, selepas diperiksa, bot itu yang membawa lima orang awak-awak termasuk tekong disyaki telah menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana nombor enjin bot tidak sama dengan lesen, selain tidak memiliki nombor pendaftaran yang sah serta tidak menghidupkan sistem pemantauan  vesel (vessel tracking monitoring system).

Dalam operasi bersepadu Ops Naga pula, pada 22 Mei 2019, KM Segantang  dari Maritim Negeri Terengganu  telah  menahan sebuah lagi bot nelayan Vietnam bersama-sama 12 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam yang juga didapati  menceroboh dan menangkap ikan kira-kira 79 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Kesemua lima buah bot bersama  40 awak-awak beserta tekong  yang ditahan tersebut telah dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dato’ Zubil menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan negara, dan Ops Pagar yang baru dilancarkan khusus dalam bulan Ramadan dijangka akan dapat mengekang aktiviti perlanggaran undang-undang termasuk pencerobohan bot-bot nelayan asing.

Menurutnya lagi, aset-aset Maritim Malaysia di bawah Ops Naga yang dilancarkan untuk membanteras bot-bot nelayan asing Vietnam sehingga kini telah menahan 17 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu.

MARITIM MALAYSIA TAHAN LIMA BOT NELAYAN VIETNAM  SELEPAS CEROBOH DAN MENCURI DI PERAIRAN TERENGGANU

MARITIM MALAYSIA TAHAN LIMA BOT NELAYAN VIETNAM  SELEPAS CEROBOH DAN MENCURI DI PERAIRAN TERENGGANU 2

MARITIM MALAYSIA TAHAN LIMA BOT NELAYAN VIETNAM  SELEPAS CEROBOH DAN MENCURI DI PERAIRAN TERENGGANU 3

MARITIM MALAYSIA TAHAN LIMA BOT NELAYAN VIETNAM  SELEPAS CEROBOH DAN MENCURI DI PERAIRAN TERENGGANU 4

 

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia