LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 20 Mei – Tindakan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 menangkap ikan dengan menceroboh kawasan Zon A mengundang padah apabila ditahan oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang kira-kira jam 3.30 awal pagi tadi.

Bot nelayan berkenaan sanggup menunda dalam keadaan gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan di kedudukan lebih kurang 2.0 batu nautika dari Barat Pulau Rimau.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, hasil pemeriksaan mendapati, seorang tekong berumur 34 tahun bersama dua orang awak-awak kesemuanya lelaki, warga tempatan  berumur 26 dan 32 tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari daratan terhampir.

“Kesemua mereka ditahan termasuk hasil tangkapan dianggarkan seberat 200 kilogram, bot serta alat menangkap ikan. Mereka kemudian di bawa  ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Tindakan bot nelayan berkenaan dikatakan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang kemalangan di laut kerana tidak menyalakan lampu.

Beliau turut mengingatkan agar Komuniti Maritim Pulau Pinang bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

PADAH MENUNDA DALAM GELAP

PADAH MENUNDA DALAM GELAP 2

 

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang