LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

PELABUHAN KLANG, 17 Mei – Dua bot nelayan tempatan berjaya ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor dalam jarak lebih kurang 2.8 batu nautika dari Sabak Bernam pada jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, kedua-dua bot nelayan Kelas B itu ditahan bersama dua orang tekong warganegara Indonesia ketika sedang menunda pukat di perairan berkenaan.

“Kedua-dua tekong yang berumur 39 dan 42 tahun itu tidak memiliki pengenalan diri dan tidak memiliki permit kerja yang sah,” katanya.

Selain itu, bot berkenaan juga didapati melanggar syarat sah lesen bot berkenaan apabila menangkap ikan di bawah 5 batu nautika dari pesisir pantai.

Kedua-dua bot tersebut ditahan bersama ikan campur seberat 115 kilogram turut dirampas. Bot-bot itu diiringi ke Jeti Bagan Nakhoda Omar untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985.

“Pihak kami telah banyak menerima aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan ‘tarik tepi’ tersebut. Sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan bawah 5 batu nautika. Oleh itu, kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perlanggaran syarat sah lesen yang dibenarkan,” tegas beliau lagi.

sm 2 bot tarik tepi

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Selangor