LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KUDAT, 15 Mei - 12 warga Vietnam berputih mata apabila ditahan Maritim Malaysia ketika sedang leka memproses gamat (balat) yang disyaki ditangkap secara haram di perairan negara. Kesemua mereka ditahan di atas dua buah bot berasingan sekitar jam 8.30 pagi kelmarin (14 Mei 2019) di kedudukan sekitar 13 batu nautika timur laut Pulau Tigabu, Kudat.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot ronda Maritim Malaysia menahan dan memeriksa kedua-dua bot terbabit ketika mereka sedang bersauh tidak jauh diantara satu sama lain. Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot terbabit merupakan bot berpendaftaran Malaysia serta kesemua nelayan terbabit juga bekerja di atas bot secara sah berdasarkan kepada dokumen yang dikemukakan.

“Ini merupakan kes ketiga yang melibatkan tangkapan gamat di Perairan Kudat pada bulan ini. Bot-bot seperti ini menggunakan peralatan menangkap hasil laut yang diharamkan. Malah jika kita lihat pada lesen yang dikeluarkan kepada mereka ialah lesen menangkap ikan menggunakan pukat atau rawai dan bukannya lesen bagi menangguk balat. Maritim Malaysia akan pantau perkara ini secara serius dan tegas,” katanya.

Boon Chin Chau memberitahu pemilik bot tempatan yang menggaji pekerja asing perlu memantau setiap tindakan pekerja mereka. Malah mereka wajib maklumkan pada pekerja-pekerja mereka tentang peraturan dan undang-undang tempatan dengan jelas sebelum membenarkan mereka mengendalikan bot

“Gamat yang dirampas dianggarkan seberat 450 kilogram. Kedua-dua bot berserta kesemua nelayan ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan” jelas beliau.

GAMAT 3

GAMAT 2

GAMAT 1

Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Kudat