LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

GEORGETOWN, 13 Mei – Sikap tamak segelintir nelayan masih berleluasa apabila sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Bin Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 8.9 batu nautika dari Timur Laut Pulau Betong pada jam 11.40 malam semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga Thailand berusia 38 tahun bersama tiga orang awak-awak lelaki iaitu seorang warga tempatan dan dua warga Thailand berusia dalam lingkungan 46 hingga 48 tahun berada di atas bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan. Mereka ditahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai terdekat,” katanya.

"Bot berkenaan bersama dua gulung pukat tunda, dua buah papan tunda, ikan campur anggaran 100 kg dan ikan baja anggaran 100 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut. Kesalahan itu merupakan isu utama di perairan Pulau Pinang dan Maritim Malaysia amat memandang berat masalah ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Penangkapan ikan di luar zon menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai,” tambahnya.

Beliau turut berpesan agar komuniti maritim tempatan bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat lengkap berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan oleh bot pukat tunda yang selalu menjadi rungutan nelayan pantai.

 

WhatsApp Image 2019-05-13 at 12.00.21 PM

Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang