LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

LANGKAWI,  8 Mei – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C, bersama 4 awak-awak warga Thailand disyaki hilang di kedudukan 17.2 batu nautika barat Pulau Rebak, Langkawi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Haji Rozali Bin Said berkata, bot tersebut dilaporkan hilang setelah pemilik bot berkenaan membuat laporan polis apabila beliau gagal menghubungi bot terbabit sejak beberapa hari yang lalu.

Dua buah bot nelayan dari Pangkalan Kuala Perlis dikatakan keluar ke laut pada 2 Mei lalu untuk memukat ikan. Namun pada tanggal 5 Mei sekitar jam 7.00 pagi, kehilangan bot tersebut disedari oleh sebuah lagi bot selepas mereka dilanda ribut.

"MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada pukul 6.00 petang semalam. Bot Petir 81 dari Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bot RH 9 dari Pasukan Polis Marin dan empat buah bot nelayan tempatan telah ke lokasi terakhir bot tersebut dan seterusnya membuat pencarian di sektor yang telah ditetapkan” katanya.

“Operasi CARILAMAT yang ditangguhkan semalam telah diteruskan pada hari ini bermula jam 7.30 pagi dengan pertambahan aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)”, katanya lagi.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang kecemasan di laut dan sentiasa mengambil langkah yang terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut. Orang ramai terutamanya komuniti maritim adalah dinasihatkan supaya sering mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu. Para nelayan juga dinasihat supaya sentiasa membawa jaket keselamatan setiap kali turun ke laut.