LUMUT, 02 Mei -16 orang ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi bersepadu mengekang masalah penyalahgunaan dadah di Pulau Pangkor oleh Maritim Malaysia Negeri Perak dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kelmarin.
Seramai 23 anggota AADK yang diketuai oleh Encik Zubir Bin Muhamad Yusuff, Ketua Bahagian Operasi AADK Perak, manakala aset Maritim Malaysia iaitu KM Nyalau dan Bot Petir 80 telah terlibat dalam operasi yang tertumpu di kawasan penagih di Pulau Pangkor dan di sekitar perairan pulau.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Wan Mat Bin Wan Abdullah berkata, operasi bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir pada jam 4.00 pagi tadi memberi penekanan kepada kesalahan yang membabitkan penyalahgunaan dadah narkotik.
“Hasil pemeriksaan AADK ke atas 35 individu iaitu 30 lelaki dan lima wanita mendapati 16 tangkapan berjaya dibuat selepas ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah. Kes seterusnya diserahkan kepada pihak AADK bagi siasatan lanjut,” katanya.
Maritim Negeri Perak sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bersedia memberi bantuan aset yang ada bagi menjayakan operasi-operasi khas yang dirancang.
Sumber:
Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Perak