LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

Kota Tinggi, 2 Mei – Tiga buah bot dan 39 orang nelayan asing Vietnam ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tg. Sedili (ZMTS) ketika sedang asyik merompak hasil laut negara pada kedudukan lebih kurang 19 batu nautika tenggara perairan Pulau Aur dan 26.5 batu nautika Timur Tanjung Balau antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari kelmarin dan semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan berkata, sebuah kapal peronda Maritim Malaysia didatangkan khas dari Johor Barat  berjaya mengesan dua bot nelayan asing yang mempamerkan Carving Marking (Tanda Nama) seperti bot nelayan tempatan. Manakala sebuah lagi bot Vietnam menggunakan modus operandi yang sama ditahan oleh sebuah bot peronda Maritim yang sedang melakukan rondaan operasi Jaksa. Ketiga-tiga bot ditahan selepas mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tekong bot gagal mengemukakan lesen bot dan sebilangan kru mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM9.4 juta termasuk bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut dan bahan bakar,” jelas beliau.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan diperairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia. Jika disabitkan kesalahan tekong boleh dikenakan denda RM 1 juta manakala awak-awak boleh dikenakan denda RM 100 ribu setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya serta kesemua bot berserta peralatannya boleh dilucut hak,” tambah beliau.

Zulfadli menegaskan, Maritim Malaysia serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat mencuri hasil laut negara dalam perairan Malaysia. Maritim Negeri Johor khususnya ZMTS akan menggandakan usaha mengekang masalah ini khususnya daripada Vietnam di perairan Johor Timur daripada terus menganggu komuniti Maritim setempat. 

BNA VIETNAM ZMTS.3

BNA VIETNAM ZMTS

 BNA VIETNAM

Sumber:

Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedili