LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

TERENGGANU, 28 April - Enam buah bot bersama 63 nelayan termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam  berjaya ditangkap dalam satu operasi khas selama dua hari dengan nilai rampasan bernilai 6 juta.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli dalam sidang medianya berkata, empat daripada enam bot nelayan Vietnamtelah ditangkap di kawasan cari gali minyak minyak negara berdekatan dengan sempadan perairan Malaysia-Vietnam manakala dua lagi dikawasan yang berasingan.

"Pada 25 April, dua buah bot berjaya ditangkap pada pukul 7.30 pagi dan 10.30 pagi yang membawa 19 nelayan dan 9 nelayan pada kedudukan antara 142 dan 145 batu nautika timur Kuala Terengganu. Manakala, bot ketiga dan keempat masing-masing membawa lapan dan lima nelayan termasuk tekong berjaya diberkas pada kedudukan 141 dan 153 batu nautika timur Kuala Terengganu,” katanya.

Tambahan beliau dua lagi bot disyaki bot klon yang membawa 18 nelayan dan empat nelayan termasuk tekong pada 26 April pada kedudukan 51 dan 53 batu nautika timur Kuala Terengganu sekitar tengah hari berjaya dicekup Maritim Malaysia. Jumlah kesemua yang ditahan adalah seramai 63 orang berumur dalam lingkungan 15 hingga 59 tahun termasuk 2 individu bawah umur.

“Sebelum berjaya menangkap bot nelayan Vietnam yang pertama, adegan kejar buru  selama dua jam terpaksa ditempuh KM Pekan untuk memberhentikan bot terbabit.  Sikap degil tekong bot berkenaan yang enggan berhenti telah menyebabkan KM Pekan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menghalang bot terbabit melepaskan diri dari ditahan,” jelas beliau.

Hasil pemeriksaan awal juga mendapati, tekong botkelima yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki sebagai bot klon juga memiliki satu diari yang merekod nama aset-aset Kapal Maritim yang sentiasa melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap pergerakan aset-aset Maritim Malaysia sentiasa diawasi oleh bot-bot Nelayan Vietnam yang mana mereka akan menghilangkan kelibat ke perairan antarabangsa apabila kapal-kapal Maritim Malaysia dikesan menghampiri ke kawasan pencerobohan mereka, katanya.

Suffi memberitahu selain menahan enam buah bot nelayan Vietnam, turut dirampas lebih dua tan hasil laut, 7,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM6 juta. Kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri terengganu pada awal pagi 27 April bagi siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan huruf,nombor atau lain-lain cara pengenalan sesuatu vessel penangkapan ikan yang lain, Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.

Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.

Berdasarkan statistik operasi Maritim Negeri Terengganu dan Zon Maritim Kemaman, Jan hingga April 2019,  sebanyak 533 buah vesel telah diperiksa dan 32 daripadanya bersangkut kes yang membabitkan anggaran rampasan sebanyak RM32 juta. Seramai 240 nelayan warga Vietnam telah dimasukkan ke lokap Maritim Negeri. Selain itu, kes-kes mahkamah yang selesai telah berjaya memperolehi hasil denda sebanyak RM2,349,900.00 dan juga kos penahanan bot sebanyak RM350,000.00.

6 BOT VIETNAM 63 NELAYAN

6 BOT VIETNAM 63 NELAYAN. 3

6 BOT VIETNAM 63 NELAYAN.2

Sumber:

Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia