LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KUALA LINGGI, 11 April – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan 2 lelaki warganegara asing disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika dari Kuala Linggi, Alor Gajah awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud, berkata, penahanan tersebut dilakukan semasa rondaan hasil maklumat risikan mengenai pergerakan masuk bot yang mencurigakan dari negara jiran, Indonesia menuju ke perairan Kuala Linggi.

“Bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan dan menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran sekitar jam 6 pagi semalam. Semasa ditahan, terdapat dua orang warga asing lelaki iaitu seorang warga Bangladesh berusia 31 tahun dan warga Ghana berusia 41 tahun.

Amran menjelaskan bahawa kedua-dua warga asing tersebut ditahan bersama bot yg dinaiki dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM). Kedua-dua mereka termasuk bot dibawa ke jeti Maritim Kuala Linggi dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya. Katanya lagi,

“Berdasarkan siasatan awal, saya percaya bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui laluan tikus dipercayai dari Dumai, Indonesia.

Siasatan awal ke atas kedua-dua suspek ini juga mendapati mereka memasuki ke negara ini untuk mencari pekerjaan di sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur. Beliau juga berkata, sehingga suku tahun ini, Maritim Malaysia telah berjaya membuat 12 kes tangkapan melibatkan PATI di bawah Akta Imigresen, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Beliau menegaskan pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan terutamanya di musim perayaan.