LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

Kota Tinggi, 9 April – Tiga kapal tangki ditahan di perairan Johor Timur oleh pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan semalam.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Bin Nayan berkata, dua kapal tangki yang berdaftar di Freetown, Liberia dan Malabo, Equatorial Guinea bersama 21 kru ditahan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Jaksa pada jam 11.05 pagi dan 2.10 petang lebih kurang 3.2 batu nautika dan 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop.

Penahanan dibuat setelah mendapati kedua-dua kapal tangki tersebut gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia dan kru kapal tidak mencapai piawaian.

Pada masa yang sama sebuah lagi kapal tangki yang berdaftar di Jakarta, Indonesia yang dikendalikan oleh 14 kru ditahan pada jam 11.50 pagi oleh sebuah lagi bot ronda Maritim Malaysia kerana disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi seksyen 72(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kru kapal tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate boleh didenda sehingga RM 100 ribu. Dua kru setiap kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya.”

Zulfadli menjelaskan lagi, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara. Maritim Malaysia juga ingin menegaskan supaya pengusaha dan pemilik kapal untuk menjauhi Kawasan Larangan Bersauh kerana boleh mendatangkan bahaya navigasi serta kerosakan kabel komunikasi dasar laut. Para pengusaha juga dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh.

 

SM KAPAL BERSAUH TANPA KEBENARAN 9 APR

 

Sumber:

Pegawai Perhubungan Awam Zon Maritim Tanjung Sedili