LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

KEMAMAN, 18 Mac - Dua buah bot nelayan asing ditahan bernilai hampir RM2 juta bersama dua orang tekong dan 13 awak-awak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Maritim Negeri Pahang kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi), Kepten Maritim V.Pannir Selvan A/L Veloo, berkata sewaktu aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan, dua bot nelayan asing disyaki dari Vietnam dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi lebih kurang 103 batu nautika timur laut dari Kuantan. Bot tersebut membawa ikan campur yang dianggarkan melebihi dua tan.

“Terdapat juga petak-petak ikan berbentuk akuarium di salah sebuah bot nelayan asing berkenaan, mengandungi hampir setengah tan ikan Yu hidup dipercayai diperoleh dalam perairan Malaysia dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah wang tunai dianggarkan hampir RM 15,000.00 dalam kedua-dua buah bot berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui kegunaan wang tersebut.

Keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dan kesemua 15 nelayan Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun ditahan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sehingga hari ini, Maritim Negeri Pahang telah melakukan hampir 275 pemeriksaan dan sembilan tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan,” kata V.Pannir Selvan.

 dua bot asing ditahan rm 2juta

dua bot asing ditahan rm 2juta. 3

 

Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Pahang