LATEST MERAH  LATEST MERAH awam  LATEST MERAH MEDIA  LATEST MERAH DIREKTORI  LATEST MERAH PENYERTAAN  logo carian tp
 

Berita Utama

TANJUNG BIDARA, 19 Mac - Malang tidak berbau itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada tiga orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan seorang tekong yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia menemui kegagalan apabila bot yang dinaiki ditahan di perairan Tanjung Bidara, Melaka pada lewat malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud berkata, pihaknya berjaya menahan seorang tekong bot dan tiga orang PATI dalam sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran sedang melalui laluan tikus untuk masuk ke Malaysia dalam operasi yang dijalankan pada jam kira-kira 11.00 malam.

Seorang tekong dan tiga orang PATI warga Indonesia, yang kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 20 hingga 38 tahun ditahan dalam satu operasi pemantauan yang dibantu oleh Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA dalam mengesan pencerobohan dan penyeludupan di perairan Selat Melaka.

Tangkapan ini merupakan hasil operasi khas selepas kami menerima maklumat terdapatnya pergerakan sebuah bot yang mencurigakan dari perairan Pulau Rupat, Indonesia ke perairan Tanjung Bidara, Melaka. Pihak kami telah berjaya memintas dan menahan bot tersebut di posisi kira-kira 2.3 Batu Nautika dari Barat Laut Pulau Tanjung Bidara,Melaka,” ujar beliau.

Amran menjelaskan bahawa kesemua yang ditahan iaitu seorang tekong dan tiga orang PATI akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Setakat ini Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah berjaya membuat tangkapan sebanyak 11 kes di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

kes pati tg bidara